Siti Sakinah takut kepada anjing sepanjang hidupnya. Bukan itu sahaja, dia diberitahu menyentuh anjing tidak dibenarkan dalam Islam. Itulah mentaliti dan pengajaran yang tertanam dalam dirinya oleh keluarga konvensionalnya. Namun pada hari tersebut, Siti Sakinah bersama-sama empat anaknya hadir ke Central Park, Bandar Utama, Selangor, untuk mengambil bahagian dalam acara “I Want to Touch a Dog”, satu acara untuk mengatasi ketakutannya.

“Ia juga untuk menunjukkan menyentuh anjing tidak haram. Ramai yang bimbang menyentuh anjing lebih kerana ia satu dosa, bukannya takut kepada dosa yang lebih besar,” kata Siti Sakinah, seorang bekas guru agama yang kini bekerja dengan sebuah NGO.

Beliau berkata suaminya, seorang ustaz, memberi izin untuk menghadiri majlis hari ini.

“Saya mahu melompat gembira apabila dia berkata ya dan saya beritahu anak-anak saya, mereka harus pergi. Dan mereka semua datang hari ini dengan saya untuk mengatasi ketakutan mereka dan apabila mengetahui anjing juga makhluk yang dicipta Allah yang memerlukan cinta dan kasih sayang,” kata Siti Sakinah, yang sejak pagi menyentuh dan mengelus anjing sahaja.

“Saya masih takut pada anjing besar jadi saya menyentuh yang kecil terlebih dahulu,” katanya dengan gembira.

Siti Sakinah dan anak-anaknya antara keluarga yang hadir pada majlis itu yang dihadiri lebih 1,000 orang.

Penganjur acara itu, Syed Azmi Alhabshi, berkata dia berpuas hati dengan hasilnya.

“Kami hanya jangka 60, tetapi ini sudah lebih daripada 60. Ini amat menggalakkan dan saya harap saya menyediakan air yang cukup untuk anjing dan meminta maaf ke atas sebarang kekurangan,” katanya.

Azmi, yang sejak pagi memantau persekitaran supaya semuanya teratur, juga berjaya menyentuh bukan satu, tetapi beberapa ekor anjing buat pertama kali dalam hidupnya.

“Saya ingin menyentuh husky tapi begitu sibuk sekali,” katanya.

Pencinta haiwan yang tiba di Central Park sejak pagi berjalan-jalan dengan anjing mereka yang pelbagai jenis seperti husky, German Shepherd, Doberman, Golden Retriever dan poodle.

“Saya ingin tahu, itulah sebabnya saya ke sini. Saya menyentuh beberapa. Saya tidak pernah mempunyai peluang sebegini sebelum ini.

“Saya membesar di Kota Baru dan kini belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Ibu bapa saya tidak tahu bahawa saya di sini tetapi kawan-kawan sangat menyokong, “kata Nik Farhana Nik Othman, 22.

Nik Farhana diiringi oleh seorang teman.

Satu lagi wanita yang mahu dikenali hanya sebagai Munirah Mohamad, 35, berkata hubungannya dengan anjing bermula tiga tahun lalu ketika dia selamatkan seekor anjing yang didera oleh jirannya.

“Saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya sangat takut sehingga saya biarkan anjing itu ke anjung rumah saya.

“Saya menghubungi doktor haiwan untuk datang dan menjemputnya untuk memberikan rawatan. Dan saya dimarahi oleh jiran saya,” kata Munirah.

Sejak itu, katanya, beliau menyelamatkan lebih daripada 50 anjing. Kebanyakan anjing itu terbiar dan Munirah memberinya makan dan rawatan.

Sebahagian daripadanya kembali ke jalanan setelah dirawat manakala yang lain terus tinggal bersamanya.

Pada masa ini, Munirah mempunyai dua ekor anjing sebagai haiwan kesayangan. Tetapi beliau hanya membawa seekor untuk program hari ini.

“Saya temui anjing saya, Sasa, di jalanan dengan kakinya patah. Saya bawa pulang dan merawatnya sehingga sihat. Keluarga saya tidak menyukainya apa yang saya buat.

“Mereka rasa saya hanya membuang tenaga dan wang tetapi bagi saya, anjing juga seperti haiwan lain yang memerlukan penjagaan dan kasih sayang,” kata Munirah.

Beliau berkata, semua perkara negatif yang dia lalui membuatkannya terfikir untuk berhijrah.

“Kadang-kadang saya rasa saya mahu lari, tetapi jika saya kekal, saya dapat menyelamatkan lebih banyak anjing. Jadi saya belum memutuskan apa yang perlu dilakukan.”

Beliau berkata acara hari ini adalah cara yang baik untuk mendidik umat Islam untuk mencintai dan menunjukkan kasih sayang terhadap haiwan.

Program “I Want to Touch a Dog” adalah acara untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih peka dengan makhluk berbulu dan berkaki empat itu dan juga untuk mendidik orang ramai tentang bagaimana untuk mengamalkan “sertu” (pembersihan).

Ini adalah untuk membantu mereka mengatasi rasa takut terhadap anjing dan membawa bersama-sama rakyat Malaysia bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman yang melampaui budaya, bangsa dan agama.

Turut hadir pada majlis itu ialah ustaz Mohd Iqbal Parjin yang memberikan ceramah mengenai menyentuh anjing dalam Islam.

“Anjing juga makhluk tuhan. Kita perlu mengatasi mentaliti melihat haiwan sebagai makhluk yang menyakitkan hati. Mengajar anak muda untuk mencintai orang lain, tetapi pada masa yang sama, tahu batasan untuk menyentuhnya,” kata Iqbal.