Di Singapura, penduduk bahagian barat melaporkan kawasan mereka dilanda hujan batu sebesar syiling 20 sen dan 50 sen. Hujan lebat bersama angin kencang dilaporkan berlaku sekitar pukul 3 petang. Menurut penduduk, kawasan yang dilanda hujan batu termasuk Jurong dan Bukit Batok. Ada yang mendakwa cuaca terbabit berlaku antara lima sehingga 10 minit.

Hujan sederhana hingga ribut petir diramal melanda kawasan selatan, timur dan tengah Singapura antara 3.25 petang hingga 4.25 petang. Lembaga Utiliti Awam republik itu, PUB, turut mengeluarkan amaran kemungkinan berlakunya banjir kilat.

Agensi Alam Sekitar Nasional (NEA) mengesahkan kejadian hujan batu yang dialami sesetengah penduduk terutama yang tinggal di bahagian barat Singapura itu, bukan disebabkan pembenihan awan di Indonesia. Ditanya jika hujan batu itu berkaitan dengan jerebu, NEA hanya berkata ia adalah satu kemungkinan tetapi tidak dapat mengesahkannya. Bagaimanapun, NEA berkata hujan lebat petang ini bukan toksid. Kali terakhir hujan batu berlaku di republik ini ialah pada 27 Mac 2008.

Sementara itu di Malaysia, Johor Bahru tidak mengalami fenomena ini walaupun berdekatan dengan pulau tersebut.