North Korea Hotel 1

Hotel Ryugyong berbentuk piramid setinggi 105 tingkat di Korea Utara ini telah terbelengkalai sejak lebih 20 tahun yang lalu. Hotel ini diberi nama Hotel of Doom ataupun Hotel Malapetaka dan ia juga dilabelkan sebagai bangunan terburuk dalam sejarah peradaban manusia. Ia adalah bangunan ke-47 paling tinggi di dunia dengan ketinggan 335 meter dan mempunyai jumlah aras kelima paling banyak.

Reto Wittwer, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kempinski AG, syarikat pengendali hotel antarabangsa berkata, hanya 150 bilik di tingkat paling atas akan digunakan untuk hotel berbanding 3,000 yang dicadangkan sebelum ini. Baki ruang bangunan berkenaan akan digunakan untuk kedai, pejabat, dewan majlis dan restoran. Struktur bangunan yang amat besar itu yang digelar “Hotel Malapetaka” sebelum ini menjadi sumber tarikan dan cemuhan di seluruh dunia serta memalukan pihak berkuasa negara itu yang diketuai Parti Pekerja Korea.

North Korea Hotel 2

Korea Utara mula membina Ryugyong pada tahun 1980-an tetapi menghentikannya apabila negara itu dilanda krisis ekonomi dan kehabisan pembiayaan pada 1990-an. Ia diundi sebagai “Bangunan Terburuk dalam Sejarah Peradaban Manusia” oleh majalah Esquire pada tahun 2008 yang menyifatkan Ryugyong sebagai “sangat hodoh walaupun pada standard komunis.” Pembinaan luaran bagaimanapun disambung semula pada 2009 apabila syarikat Mesir, Orascom Telecom, mengambil alih. Beberapa laporan baru-baru ini berkata, hotel itu akhirnya sudah siap untuk dibuka.

Orascom Telecom melancarkan rangkaian telefon bimbit di negara itu pada 2008 dan dilapor membelanjakan RM660 juta untuk menyiapkan permukaan bangunan berkenaan. Pada September lalu, sebuah agensi pelancongan yang berpejabat di Beijing dibenarkan melihat bahagian dalam bangunan itu dan menyiarkan gambar lobi yang masih berlantai dan berdinding konkrit.