Menteri Pertahan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Chuck Hagel di luar hari ketiga Dialog Shangri-La 2013 di Singapura. Pada pertemuan tersebut, Hishammuddin bertukar-tukar pandangan dengan Hagel mengenai isu-isu keselamatan serantau dan membincangkan cara-cara untuk meningkatkan hubungan pertahanan dua hala antara Kuala Lumpur dan Washington.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan di sini, selain isu dua hala dan pelbagai hala, Hishammuddin mengadakan perbincangan terperinci mengenai cabaran baru keselamatan serantau dengan penekanan khas mengenai ruang siber dan peranan media sosial. Ini adalah pertemuan pertama bagi Hishammuddin dan Hagel sejak masing-masing dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan Setiuasaha Pertahanan, kata Kementerian Pertahanan. Hishammuddin juga telah menjemput Hagel untuk melawat Malaysia bagi membawa interaksi dua hala mereka ke tahap yang lebih tinggi, menurut kenyataan itu.

Dialog Shangri-La 2013 merupakan lawatan luar pertama Hishammuddin sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan dalam barisan baharu Kabinet Persekutuan pada 15 Mei lepas. Semasa dialog tersebut, Hishammuddin telah menemui rakan sejawatan dari Asean iaitu Singapura, Indonesia, Brunei, Vietnam dan Filipina selain Amerika Syarikat, Australia, New Zealand, United Kingdom, Perancis, Kanada dan Sri Lanka.