Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Biso Bonar dan Rendang Tak Berbuah, Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin difahamkan bakal memilih tanggal 15 Ramadhan ini sebagai tarikh untuk bernikah semula dengan bekas isteri pertamanya, Arianie Mohd Abidin.

Menurut Hattan, sebenarnya dia mempunyai dua tarikh yang sesuai untuk melangsungkan hari bahagia tersebut, akan tetapi demi ingin menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan Arianie, dia telah memutuskan untuk bernikah pada Ramadhan akan datang. Katanya:

Saya rancang ingin menikahi dia (Arianie) pada 15 Ramadan ini. Tetapi saya ada juga terfikir untuk melangsungkan perkahwinan pada hari jadi anak kami, Adam, iaitu 21 Ogos. Saya lebih suka kami berkahwin pada 15 Ramadan sebab mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama. Lagipun lebih elok jika kami berkahwin pada bulan Ramadan.

Mengulas lebih lanjut mengenai pernikahan tersebut, Hattan mengambil penekanan untuk melupakan kisah silam yang pernah berlaku antara mereka dan membina semula hidup baru bersama-sama.

Saya tidak jumpa wanita lain yang boleh dijadikan isteri. Kami juga sudah serasi bersama. Seluruh keluarga saya juga tidak mahu orang lain selain dia (Arianie).

Kami mahu lupakan perkara silam dan buka lembaran baru untuk hidup bersama.

Sebagai maklumat tambahan, Hattan dan Arianie pernah bernikah pada 17 Disember 1996 dan mereka bercerai dengan talak satu secara rasmi pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki iaitu Adam Eiman, 15 tahun.

(Sumber Berita)