Seorang pekerja di sebuah asrama terkejut apabila menemui janin manusia berukuran lima sentimeter yang usianya baru 10 minggu bersama sehelai seluar dalam di dalam mangkuk tandas asrama itu di Jalan Kebun Sultan di Kota Bharu, petang kelmarin. Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, janin seberat 10 gram tersebut ditemui oleh seorang pekerja asrama berkenaan yang terletak dalam bangunan sebuah hotel pada kira-kira pukul 1.30 petang kelmarin. Kata beliau:

“Pekerja di asrama itu telah menghubungi majikannya di Tumpat selepas menemui sesuatu yang disyaki janin dalam tandas tersebut. Majikannya kemudian membuat laporan polis dan unit forensik telah ke sana. Unit forensik menyerahkan janin berkenaan dengan sehelai seluar dalam tanpa jenama kepada pegawai penyiasat. Hasil siasatan mendapati, kematian janin adalah akibat keguguran.”

Azham berkata lagi, setakat ini suspek belum dikenal pasti dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 312 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Menurutnya, asrama yang terletak di bangunan hotel itu mempunyai 10 bilik tidur, dua bilik air dan sebuah tandas. Asrama tersebut didiami pelajar-pelajar perempuan yang menuntut di institut-institut pengajian berhampiran.

(Sumber Berita)