Dua bekas pemain The Red Warriors muncul wira Johor Darul Takzim apabila membantu pasukan menewaskan Kelantan 2-0 di laman sendiri dalam aksi Liga Super 2013 di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, di sini malam tadi. Jaringan menarik Norshahrul Idalan Talaha dan Nurul Azwan Roya ternyata menggagalkan misi pasukan bimbingan Bojan Hodak untuk meraih kemenangan bagi memperbaiki kedudukan dalam Liga Super musim ini.

Kemenangan yang diraih pasukan tuan rumah menyaksikan pasukan kendalian Pengurus merangkap Ketua Jurulatih, Fandi Ahmad terus mencatatkan kemenangan dalam usaha memburu tiga mata bagi menamatkan saingan selaku juara liga.

Sebaik sahaja aksi separuh masa pertama bermula, kedua-dua pasukan saling mengatur serangan dan mengasak antara satu sama lain bagi mendapatkan gol awal.

Gandingan Norshahrul Idlan bersama Safee Sali dan penyerang import dari Argentina, Leonel Nunez menampakkan keserasian apabila kerap kali mengancam kubu pertahanan lawan.

Pasukan tuan rumah yang menguasai permainan hampir mendapatkan gol pertama menerusi penyerang import dari Nunez pada minit ke-2, namun sepakan dibuat tersasar jauh dari gawang lawan.

Pasukan tuan rumah sekali lagi memiliki peluang untuk menjaringkan gol pertama pada minit ke-17 apabila sepakan kencang Nurul Azwan Roya gagal ditangkap kemas penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Bagaimanapun, pertahanan import The Red Warriors, Obinna Nwaneri menyelamatkan kekalutan di dalam kawasan sendiri dengan menolak keluar dari kota penalti.

Khairul Fahmi atau lebih dikenali dengan nama panggilan ‘Apex’ terus diuji Johor Darul Takzim pada minit ke-26 menerusi sepakan percuma Mohd Farid Ramli yang berjaya ditangkap dengan kemas.

Kelantan memiliki peluang terbaik untuk meraih gol pertama pada minit ke-29 menerusi Mohd Haris Safwan dalam aksi perebutan di dalam kawasan kota penalti tuan rumah, tetapi cubaannya berjaya digagalkan Muhd Al-Hafiz Hamzah.

Umpama mendapat ‘tonik’ ketika waktu rehat, Johor Darul Takzim mengukuhkan cengkaman penguasaan perlawanan pada babak kedua apabila kerap membuat percubaan tepat ke arah gawang lawan.

Hasilnya, pasukan tuan rumah berjaya meraih gol pertama menerusi Norshahrul pada minit ke-65 apabila sepakan dari luar kotak penalti gagal diselamatkan Apex.

Tiga minit kemudian, gawang Kelantan sekali lagi dibolosi Johor Darul Takzim menerusi sepakan kencang Nurul Azwan Roya yang menggegarkan jaring.

Tersentak dengan jaringan gol dan serangan pasukan tuan rumah, Kelantan memperkemaskan rentak
permainan dan mengatur serangan bagi mencari gol pertama.

Bagaimanapun, setiap serangan yang dilakukan oleh gandingan Ahmad Fakri Shaarani; Mohd Haris dan Zairo Zainali berjaya dipatahkan oleh benteng pertahanan diketuai oleh kapten pasukan Harimau Selatan, Kamarul Afiq dan kecekapan Muhd Al-Hafiz.

Meskipun asakan demi asakan dilakukan oleh pasukan pelawat, keputusan 2-0 yang memihak kepada
Johor Darul Takzim tidak berubah sehingga wisel penamat.

Hadir menyaksikan perlawanan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan.