Harimau Muda catat kemenangan pertama

Selepas melalui lapan perlawanan dengan enam kekalahan dan dua seri, Harimau Muda akhirnya berjaya menang pada perlawanan persahabatan kesembilan ke atas pasukan Slavia Praha B21 dengan kemenangan 2-1. Nasib tidak menyebelahi Harimau Muda sebelum ini apabila beraksi di Slovakia dan Hungary. Namun sikap tidak berputus asa dan usaha kuat membuahkan hasil pada aksi pertama di Republik Czech.

Bertemu pasukan Bawah-21 Slavia Praha bukan jalan mudah untuk skuad Bawah-23 Malaysia apabila mereka tampil lebih hebat dan memberi cabaran sengit kepada Harimau Muda. Slavia Praha B21 yang menduduki tempat kedua Liga Junior Czech setakat ini memulakan perlawanan dengan baik dengan beberapa asakan terhadap benteng pertahanan Harimau Muda. Dengan fizikal yang lebih kecil berbanding pasukan tuan rumah itu, Harimau Muda cuba mengatasi dengan kepantasan walaupun turun tanpa beberapa tonggak utama yang cedera.

Pada minit ke-27, Slavia Praha mendahului perlawanan hasil jaringan cantik oleh pemain pertahahan, Hurka Martin menewaskan Farhan Abu Bakar penjaga gol Harimau Muda. Namun, aksi kurang meyakinkan oleh pemain berusia 17 tahun, Adam Nor Azlin telah menggesa jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee untuk menggantikannya dengan Rozaimi kurang 10 minit selepas gawang mereka dibolosi. Pasukan tuan rumah terus melakukan percubaan untuk menggandakan jaringan namun berjaya dihalang oleh Farhan. Dua minit sebelum waktu rehat, Harimau Muda diberikan sepakan percuma yang berjaya dilaksanakan dengan baik oleh Wan Zaharulnizam dari kiri untuk menyamakan kedudukan.

Harimau Muda tampil lebih baik pada babak kedua perlawanan dengan asakan lebih agresif ke kubu pihak lawan. Rozaimi turut mendapat beberapa peluang di hadapan gawang gol lawan namun beberapa kali juga gagal untuk ditembusi. Seolah-olah perlawanan akan tamat dengan keputusan seri tetapi Saarvindran telah berjaya membuat hantaran kepada Rozaimi yang menjaringkan gol kemenangan untuk Harimau Muda pada masa penamat.

Kemenangan ini amat bermakna buat seluruh pasukan Harimau Muda yang belum menang sejak dua bulan berada di Eropah.

Malaysia B23 XI: Farhan (GK), Fadhli Shas, Ariff Farhan, Amirzafran, Irfan Fazail (C), Saiful Ridzuwan, Azrif Nasrulhaq, Adam Nor Azlin, Saarvindran, Wan Zaharulnizam, Hazwan Bakri

(Sumber Berita)