Seorang pelajar Tingkatan Dua sebuah sekolah di Chukai, Terengganu, hamil empat bulan dipercayai dirogol teman lelakinya pada bulan Januari yang lalu. Kejadian yang menimpa pelajar berusia 14 tahun itu hanya disedari ibunya apabila mengesyaki sesuatu selepas mendapati berlaku perubahan fizikal pada tubuh anak gadisnya yang semakin berisi, selain sering muntah dan kerap ponteng sekolah.

Sumber berkata, berikutan itu ibu mangsa yang juga suri rumah membawa anaknya ke sebuah klinik kesihatan di Kertih, pada 19hb Mei lalu dan doktor mengesahkan pelajar terbabit telah hamil empat bulan. Berikutan itu, ibu mangsa mendesak anak gadisnya supaya menceritakan kejadian yang menimpanya.

“Mangsa mendakwa dirogol teman lelakinya di rumah keluarga suspek di kampung yang sama. Kejadian dikatakan berlaku pada jam 2.30 petang, 14hb Januari lalu,” katanya.

Berikutan pengakuan anaknya, wanita itu membuat laporan di Balai Polis Kertih dan polis sudah mengenalpasti suspek dan dijangka ditahan pada bila-bila masa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam, mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.