Dewan Pemuda PAS Malaysia kecewa dengan jawapan yang dikemukakan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang mengelak untuk berdebat berhubung dakwaan penipuan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Ketua Penerangannya Riduan Mohd Nor berkata, alasan bahawa sebarang ketidakpuasan hati boleh dibawa melalui petisyen di mahkamah adalah betul, tetapi terlalu bayak dakwaan penipuan yang memerlukan penjelasan sendiri dari SPR melalui medium selain petisyen tersebut.

“Rakyat mahukan jawapan mengapa terlalu banyak kepincangan berlaku sewaktu Pru ke 13. Beliau tidak harus berdalih dengan alasan petisyen kerana terlau banyak persoalan berlegar mengenai penyelewengan dalam PRU ke 13.

“Mengelakkan diri bertemu, dialog dan berdebat menguatkan persepsi rakyat bahawa SPR di pihak yang bersalah,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.

Menurut Riduan, memfailkan petisyen di mahkamah adalah suatu mekanisme yang akan dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat. Namun selain itu, banyak kaedah lagi yang akan dibuat termasuk bersidang di Parlimen, perhimpunan aman, memorandum dan lain-lain lagi kerana penipuan ini terlalu ketara dan perlu diketahui umum.

Tambahnya lagi, alasan kononnya tidak mahu memberi publisiti percuma kepada Pakatan Rakyat dengan debat itu merupakan alasan tidak boleh diterima, dan hanya mempamerkan sikap angkuh dan sombong Wan Ahmad.

“Sudahlah tidak mahu bertemu, diajak debat juga tidak mampu. Jika Datuk Wan Ahmad takut bertemu dengan pelbagai alasan yang beliau kemukakan, sebaiknya beliau meletakkan jawatan.

“Pemimpin atau pengadil perlu berani menanggung risikonya serta bersedia bertemu dengan sesiapa sahaja, bukan berselindung di sebalik media dan kuasa undang-undang,” katanya.