Logo FAM

Kenapa perlu memilih ranjau sukar dan apa rasionalnya pemergian Harimau Malaya ke Australia pada 3 hingga 15 Jun ini?

Tindakan pengendali pasukan, Datuk K Rajagobal untuk menghadapi kelab divisyen dua negara berkenaan di Canberra dan Sydney serta keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membatalkan persahabatan kelas A menentang Singapura, 4 dan 7 Jun ini boleh mengundang pelbagai hujah. Bagi bekas pemain kebangsaan, Dali Omar yang pernah berkelana ke Australia, dia menyifatkan itu satu keputusan silap memandangkan cuaca di sana kian sejuk.

“Pergilah kalau mereka mahu pergi bercuti. Daripada pengalaman saya menetap di Australia sebelum ini, sekarang cuaca sudah semakin sejuk sebaliknya kita pula akan menentang negara yang cuacanya panas.

“Kenapa tidak pilih negara yang cuacanya sama? Saya rasa pemergian pasukan ke sana tidak mendapat apa-apa faedah kerana prestasi setiap pemain di tempat sejuk pasti tidak akan sama ketika mereka beraksi di tempat panas,” katanya ketika dihubungi semalam.

Difahamkan anggaran suhu adalah 2 hingga 7 darjah Celcius di Canberra manakala di Sydney, 10 hingga 14 darjah celcius manakala suhu di Bahrain — lawan yang bakal dihadapi dalam saingan Kumpulan D, Kelayakan Piala Asia 2015 — antara 26 hingga 33 darjah Celsius.

Semalam, media melaporkan tindakan FAM membatalkan perlawanan menentang pasukan jiran menimbulkan tanda tanya dan beranggapan ia sesuatu yang merugikan kerana ia menawarkan mata ranking memperbaiki kedudukan Malaysia yang kini berada di tangga 161 dunia.