Semua rakyat Malaysia yang patriotik digesa untuk mendaftar sebagai pemilih bagi menghadapi pilihan raya umum ke 14 akan datang demi menyelamatkan masa depan negara negara dari ditentukan rakyat asing yang “dihalalkan”.

Demikian kata Setiausaha Publisiti Pemuda Sosialis DAP, Junz Wong, yang antara lain turut mahu agar tiga juta pemilih yang tidak mengundi pada pilihan raya umum ke 13 lalu untuk menunaikan hak mereka kepada negara.

“Jangan terlewat untuk mendaftar dan terlepas peluang mengundi dan menukar kerajaan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, usaha ini boleh dilakukan atas inisaitif individu sendiri bermula dari rumah, teman-teman dan kenalan.

“Kita mensasarkan orang muda yang berumur 17 hingga 21 tahun sekarang ini sedia dan mendaftar bila sudah cukup kelayakan. Sekurang-kurangnya akan ada tiga juta lagi pengundi baru dalam tempoh empat hingga lima tahun mendatang ini,” katanya.

Saranan Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Likas itu amat wajar memandangkan terdapat banyak kes melibatkan warganegara asing diberikan kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi untuk memenangkan BN seperti yang didedahkan dalam sesi pendengaran Suruhanjaya Siasatan di Raja (RCI) Sabah.

Pada awal tahun ini, beberapa bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberitahu RCI di Kota Kinabalu bahawa mereka diarah bagi memudahkan pendatang tanpa izin untuk mengundi ketika 1990-an dan membantu menaikkan kerajaan negeri yang mesra BN.

Negara kemudiannya digemparkan dengan pendedahan bekas Ketua Daerah Sandakan, Hassnar Ebrahim pada Mac lalu yang berkata bahawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi dalang “Projek M”, iaitu suatu rancangan pemberian kad pengenalan di Sabah.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam satu forum Mac lalu di KLSCAH, yang turut menggemparkan hadirin apabila beliau mendedahkan bahawa seramai 130,000 pendatang tanpa izin diberikan kad pengenalan pada tahun 1985.

(Sumber Berita)