Pereka fesyen popular Calvin Thoo menyifatkan berita dia memeluk Islam tidak sepatutnya diperbesar-besarkan memandangkan ia terlalu peribadi untuk diceritakan kepada umum. Calvin berkata, dia enggan mengulas panjang mengenai perkara itu, namun mengesahkan dia sudahpun memeluk agama Islam. Menurut katanya kepada media pada hari Khamis:

“Ia terlalu peribadi untuk diceritakan tetapi memang saya sudah masuk Islam. Dan keadaan saya masih lagi sama seperti dahulu. Saya enggan mengulas panjang.”

Pada Isnin lalu, nama Calvin telah menjadi bualan ramai di media sosial apabila dia dikatakan telah memeluk agama Islam. Calvin telah mengucap dua kalimah syahadah dengan disaksikan oleh pendakwah bebas Datuk Ismail Kamus, Datuk Dr. Asri Zainal Abidin dan Solihin Mokhyi. Menerusi sebuah blog, Calvin dikatakan telah menerima hidayah selepas mendapat mimpi dia sedang bersyahadah.

Calvin mula berkecimpung dalam industri rekaan seni fesyen sejak 17 tahun dan memiliki jenama sendiri dan butik di pusat membeli belah Lot 10, Kuala Lumpur.