Dua belas jemaah masjid nyaris maut setelah bumbung hadapan masjid berkeluasan 30 x 30 kaki persegi di Kampung Binjai Kertas, di Hulu Terengganu runtuh malam kelmarin. Kejadian itu berlaku ketika mereka masih berada di dalam kawasan masjid berkenaan selepas selesai menunaikan solat Isyak.

Menceritakan kejadian, Ahli Jawatankuasa Masjid Abd Wahab Sulong, 67, berkata selepas selesai solat dan sebaik melangkah 30 meter dari tangga masjid untuk pulang ke rumah, beliau terdengar bunyi dentuman yang kuat dan terpaku seketika.

“Saya mengucap istighfar beberapa kali kerana terkejut bunyi dentuman yang begitu kuat di belakang. Saya menoleh ke belakang dan tergamam melihat struktur bumbung bahagian hadapan masjid runtuh.

“Kawasan yang runtuh itu merupakan laluan utama jemaah untuk masuk ke masjid dan nasib baik tiada sesiapa yang melaluinya ketika itu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya ketika keluar masjid, beliau mendapati ada 11 lagi jemaah di dalam masjid sebelum kesemua mereka bergegas keluar setelah mendengar bunyi dentuman itu. Abd Wahab berkata masjid ini mula beroperasi pada tahun 2008.

“Syukur runtuhan itu hanya melibatkan bahagian hadapan dan kesemua jemaah tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata sejurus menerima maklumat, sebuah jentera bersama enam anggota dari Balai Bomba Kuala Berang dikejarkan ke tempat kejadian. Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit bagi memeriksa keseluruhan kawasan masjid. Tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian runtuhan itu.