Hanya dengan sekali lafaz, penyanyi Black Hanafiah akhirnya bergelar suami kepada Naquia Yasirah Mohd. Khairi, 28, dalam satu majlis yang diadakan di Zebra Square, Kampung Pandan, di sini pada Jumaat.
Akad nikah disempurnakan oleh bapa pengantin perempuan Mohd Khairi Abu Hassan, 55, kira-kira pukul 12.06 tengah hari. Ia turut disaksikan Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al-Khatab, Bukit Damansara di sini iaitu Mohammad Syukri Yaacob.

Black atau nama sebenarnya Hanifah Hanafiah, 26, memberikan mas kahwin sebanyak RM80 manakala wang hantaran RM12,000. Rombongan lelaki turut membawa tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan dulang oleh pihak perempuan. Antara barang-barang hantaran daripada pihak lelaki ialah minyak wangi, cincin, telekung, set kosmetik, iPad mini dan sepersalinan baju.

Sementara itu, majlis resepsi persandingan kedua-dua mempelai akan diadakan pada malam Jumaat (malam ini) di Dewan Komuniti Bangsar di sini untuk keluarga perempuan manakala Sabtu (esok) di Zebra Square untuk keluarga lelaki dan rakan-rakan artis. Bagi peminat pula, Black memilih untuk berkongsi hari bahagianya pada Ahad ini di Padang Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi di sini.

Pasangan tersebut mengikat tali pertunangan pada 26 Januari lalu.