Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap mempertimbangkan cadangan membida hak tuan rumah Piala Dunia 2034 meskipun ada pihak memandang sinis mengenai perkara itu. Bagi segelintir pemerhati bolasepak, mereka menyarankan badan induk tanah air itu supaya bersikap lebih realistik dan memberi lebih tumpuan kepada aspek pembangunan daripada memasang angan-angan tinggi beraksi di pentas terulung itu atas tiket penganjur.

“Itu hak masing-masing untuk menyatakan pandangan, masa masih lagi panjang. Kita akan kaji secara terperinci sebelum membuat satu rumusan sama ada perlu atau tidak membida (Piala Dunia 2034),” kata Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Minggu lalu Tengku Abdullah mengumumkan hasrat FAM membida hak selaku tuan rumah Piala Dunia dan cadangan itu akan dilakukan bersama negara anggota Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

Satu mesyuarat khas akan diadakan pada 19 Jun bagi membincangkan dengan lebih mendalam strategi terbaik melakukan bidaan itu termasuk kemungkinan menggunakan konsep tuan rumah bersama.

Jika cadangan itu diteruskan, Malaysia dan negara Asean terbabit dijangka mengemukakan bidaan pada 2026.

Bagaimanapun dengan tahap bolasepak negara yang masih jauh ketinggalan, ada pihak mencadangkan FAM melupakan hasrat itu sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memantapkan liga tempatan dan prestasi skuad kebangsaan.

Namun Tengku Abdullah tetap positif dengan idea itu dan berkata: “Ini bukan soal Malaysia saja, ini agenda Asean. Kita nak menaikkan mutu bolasepak rantau ini. Kita perlu ada usaha, misi supaya semua negara di rantau ini meningkat.” Mengulas kesediaan Thailand yang turut menyimpan hasrat menyertai Malaysia membuat bidaan itu, beliau percaya lebih banyak negara akan menyokong idea itu.