Australia dan Korea Selatan antara dua destinasi pilihan skuad Harimau Malaya bagi mengadakan latihan pusat jika rancangan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Singapura pada awal Jun, gagal.

Pengurus skuad kebangsaan Datuk Seri Subahan Kamal berkata, keputusan mengadakan perlawanan persahabatan timbal balik itu dijangka bakal diketahui hari ini selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS).

“Mungkin esok (hari ini) kami akan dapat keputusan sama ada perlawanan persahabatan menentang Singapura itu diteruskan atau sebaliknya. Kalau tidak dapat diteruskan, kami bercadang membawa pasukan kebangsaan ke luar negara untuk menjalani latihan pusat.

“Lokasi latihan belum diputuskan lagi tapi setakat ini kami mempunyai dua pilihan iaitu Australia atau Korea Selatan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kad debit visa Bank Islam ‘Team Harimau’ di Wisma FAM semalam.

FAM dan FAS sudah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada Julai 2011 dengan salah satu perjanjian itu adalah mengadakan lebih banyak perlawanan persahabatan membabitkan pasukan kebangsaan dan belia kedua-kedua negara.

Skuad kebangsaan kendalian Datuk K. Rajagobal dalam rangka persiapan rapi bagi misi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.

Selain Singapura, mereka turut dijadual menentang Uzbekistan, India, Chelsea dan Barcelona bagi aksi persahabatan yang dijadikan medan memanaskan badan sebelum menentang Bahrain pada aksi kelayakan Piala Asia Kumpulan D.