Kementerian Belia dan Sukan masih menjalankan siasatan lanjut terhadap rawatan yang diterima oleh atlet negara yang gagal ujian doping di satu kejohanan antarabangsa, baru-baru ini. Menterinya, Khairy jamaluddin berkata, pihaknya mengetahui berhubung perkara itu apabila sebuah persekutuan antarabangsa memaklumkan perkara itu dalam satu surat kepada persatuan di sini mengenai atlet yang gagal ujian dadah pada 2 Oktober lalu.

“Pihak kami membentuk satu pasukan khas untuk menyiasat perkara ini yang akan diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Aziz. Pasukan ini akan membuat siasatan rapi berkenaan rawatan dan perubatan yang diberi kepada atlet berkenaan, apa yang boleh dilakukan sebagai langkah selanjutnya dan pihak kami juga masih mengumpul segala bukti kukuh,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Katanya, pihaknya juga masih dalam proses mengenal pasti keseluruhan kejadian yang berlaku sehingga ujian dadah dilakukan.

“Mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), atlet yang gagal ujian doping diberi peluang untuk sampel kedua dikenali sebagai sampel B.

“Apabila kami menerima keputusan sampel A, pihak kami dimaklumkan bahawa kami boleh meminta supaya sampel B diuji pada 17 Oktober dan kami melakukannya.

“Kami akan menghantar wakil untuk hadir ketika sampel B dibuka. Bagaimanapun, persekutuan antarabangsa masih tidak memberi maklum balas kepada persatuan nasional mengenai bila tarikh sampel B akan diuji,” katanya. Khairy bagaimanapun tidak mendedahkan nama atlet sehingga pemeriksaan lanjut mengesahkan bahawa atlet itu didapati positif dadah.

Insiden berkenaan adalah kes doping kedua di Malaysia dalam tempoh sebulan. Sebelum ini atlet Wushu, Tai Cheau Xuen, dilucutkan pingat emas di Sukan Asia di Incheon bulan lalu selepas didapati positif perangsang sibutramin.