Selepas kejayaan penerbitan program TV berunsur kerohanian seperti Imam Muda, Khabar Haji dan drama siri Tanah Kubur, Astro tampil dengan program baru berjudul Pencetus Ummah yang bakal bersiaran Ogos, depan.

Bersesuaian dengan judulnya, Pencetus Ummah bakal meneruskan legasi membentuk masyarakat terutama anak muda ke arah perilaku yang lebih baik dan berakhlak mulia. Seramai sepuluh peserta terbaik yang terpilih pada sesi ujibakat yang bakal berlangsung mulai esok hingga 16 Jun nanti akan memberikan ceramahnya di Medan Pencetus Ummah, setiap minggu.

Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, Pencetus Ummah merupakan inisiatif terbaru Astro dalam memberi pendekatan kerohanian.

“Ia inisiatif terbaru Astro dalam memberikan pendekatan kerohanian dan pemahaman sebenar tentang Islam. Program ini juga bukti testimonial Astro dalam menerbitkan program-program ilmiah dan tidak tertumpu pada elemen hiburan semata-mata,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Beliau berharap program terbaru ini bakal mencetuskan perubahan ke arah pembentukan ummah atau masyarakat yang lebih baik.

Sesi ujibakat pertama bakal berlangsung pada jam 9 pagi hingga 5 petang, esok dan Sabtu di Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah. Sementara sesi kedua berlangsung di Pusat Pentadbiran Islam Terengganu, Kompleks Sri Iman, Kuala Terengganu pada 7 dan 8 Jun ini. Sesi terakhir pula berlangsung pada 15 dan 16 Jun di Pusat Penyiaran Asia (Astro), Bukit Jalil.

Ia terbuka kepada lelaki Muslim yang fasih berbahasa Melayu dan berusia 18 hingga 40 tahun dengan membawa salinan kad pengenalan serta dua keping gambar bersaiz 4R. Selain perlu membaca Al-Fatihah dan beberapa surah lazim, para peserta perlu bersedia dengan salah topik yang diberikan iaitu, buang anak, poligami, keruntuhan akhlak, hiburan dalam Islam dan ekonomi.