Papagomol

Mahkamah Tinggi menetapkan 27hb Januari 2014 untuk mendengar keterangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung kes saman RM 100 Juta beliau terhadap penulis blog PapaGomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, kerana didakwa menyiarkan perkataan fitnah dan mengaitkan beliau dengan seorang lelaki dalam video seks.

Hakim Rosilah Yop turut menetapkan 28hb Jan untuk mendengar kes saman itu. Beliau menetapkan tarikh itu hari ini ketika kes berkenaan dikemukakan untuk pengurusan kes. Peguam Mohd Afiq Mohd Noor yang mewakili Dato’ Seri Anwar Ibrahim memberitahu, anak guamnya akan memanggil empat saksi manakala Wan Muhammad Azri Wan Deris (Papagomo) dijangka memanggil dua saksi.

Pada 21hb Mac lalu, Anwar memfailkan saman fitnah RM100 juta dengan mendakwa Wan Muhammad Azri, pemilik laman blog www.papagomo.com menyiarkan empat siri perkataan fitnah dalam laman web itu pada 16, 17, 19 dan 20 Mac lalu. Dalam pernyataan tuntutannya Anwar mendakwa defendan turut meletakkan satu pautan web yang memaparkan siri imej dan defendan telah secara nyata dan/atau tersirat menyatakan bahawa individu dalam imej itu ialah plaintif.

Anwar menuntut ganti rugi am, teruk, teladan, faedah, kos, lain-lain relif yang difikirkan wajar dan satu injunksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan perkataan fitnah dan imej itu. Wan Muhammad Azri dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 20 Mei menafikan bahawa beliau pemilik blog “PapaGomo”.