Paris Jackson

Anak perempuan kepada mendiang Michael Jackson iaitu Paris telah dikejarkan ke Hospital California di Los Angeles pada hari Rabu, selepas cuba untuk membunuh diri. Paris, 15, dilaporkan telah cuba untuk mengelar pergelangan tangan kanannya dengan sebilah pisau dan turut meninggalkan sekeping nota untuk ahli keluarganya.

Menurut sumber daripada keluarganya, Paris kini sedang diletakkan dalam pengawasan psikiatri selama 72 jam di hospital kerana turut mengalami tekanan perasaan.

“Dia pernah mendapatkan rawatan kerana tekanan sebelum ini. Kali ini dia cuba mengelar tangan dan ini adalah petunjuk dia benar-benar memerlukan bantuan. Paris dalam keadaan baik dan bukannya kritikal,” jelas sumber tersebut. Sebelum kejadian, Paris menerusi laman Twitternya meninggalkan beberapa pesanan pelik yang jelas menunjukkan dia sedang tertekan dengan kehidupannya.

Dalam pada itu, nenek kepada Paris iaitu Katherine Jackson menerusi jurucakapnya mengesahkan perkara itu dan memberitahu tekanan dan sedih dengan kematian Michael menjadi punca kepada kejadian tersebut. Bagaimanapun dia meminta agar semua pihak memberi ruang kepada keluarganya untuk mengharungi saat getir tersebut.

“Paris berada dalam keadaan baik dan saya mohon agar diberikan ruang untuk kami sekeluarga mengharungi saat ini,” katanya.

Turut kelihatan berada di hospital adalah ibu kepada Paris, iaitu Debbie Rowe.