Logo Baru AF

Program realiti Akademi Fantasia (AF) yang bakal kembali untuk musim terbaru masih relevan dan sebuah platform dominan membekalkan pelapis-pelapis seni tanah air kepada industri hiburan tempatan. Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh bagaimanapun berkata, pihaknya telah membuat beberapa perubahan terhadap format program tersebut yang dilihat tidak lagi sesuai dengan situasi semasa. Kata beliau:

“AF sebenarnya masih relevan dalam membekalkan bakat-bakat baru kepada industri dan ini terbukti daripada sembilan musim terdahulu yang banyak melahirkan artis yang berjaya dalam bidang nyanyian, lakonan mahupun pengacaraan.

“Bagaimanapun harus diakui format terdahulu perlu diubah kerana tidak lagi sesuai dengan kuasa media sosial pada hari ini tambahan pula penonton mahukan sesuatu yang baru daripada AF.”

Khairul ditemui pada majlis sidang media melancarkan program tersebut di The Venue Pavillion, Kuala Lumpur pada hari Khamis. Program tersebut dijangka bakal bersiaran pada September depan di Astro Ria (104) dan sesi uji bakat bakal diadakan bermula 1 hingga 30 Jun depan. Pada majlis sama, Khairul turut memperkenalkan lagu tema AF dan logo versi terbaru.

Dalam pada itu, Khairul berkata, sepanjang hampir dua tahun AF tidak bersiaran pihaknya telah melakukan pelbagai perancangan yang mana pada musim terbaru ini selain peserta solo, pasangan duet juga boleh mengambil bahagian. Tambah Khairul, peserta juga boleh menghantar link video nyanyian mereka yang dimuat naik ke laman youtube ke portal rasmi AF dan calon yang berjaya akan dipanggil untuk diuji bakat dilokasi berdekatan.

“Video-video yang terpilih akan dihubungi oleh pihak produksi untuk ke peringkat seterusnya dan cara ini dilihat lebih dekat dengan kuasa sosial media dan akan memudahkan mereka,” jelasnya.

Uji bakat musim kesepuluh bakal diadakan di lima lokasi iaitu Johor, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Selangor. Peserta mestilah berumur 18 hingga 35 tahun dan ia turut terbuka kepada warga Singapura.

(Sumber Berita)