Achey juara Bintang Mencari Bintang

Program realiti Bintang Mencari Bintang yang diterbitkan TV3 malam tadi menobatkan Achey sebagai juara musim pertama dengan markah tertinggi 79.3 pada konsert akhir program tersebut yang diadakan di Stadium Melawati.

Merupakan satu-satunya peserta solo, Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah yang juga anak didik kepada Harun Salim Bachik membawa pulang hadiah utama wang tunai berjumlah RM 200,000.

Tempat kedua pula dimenangi kumpulan Bocik dengan markah keseluruhan 61.7 yang dianggotai Muhamad Fadzli Mohd Nizam dan Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan. Kumpulan yang berada di bawah bimbingan Afdlin Shauki itu membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM 100,000.

Kumpulan Titan yang dianggotai Fazlisham Mat Hussin dan Azizul Ammar Abu Hassan merangkul tempat ketiga. Kumpulan yang berada di bawah bimbingan Sabri Yunus mendapat markah keseluruhan 52.1 sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM60,000.

Tapaw yang dianggotai Mohd. Shah Rizal Sulaiman dan Khairul Faiz Sulaiman di bawah bimbingan Faizal Ismail pula menduduki tempat terakhir pada konsert akhir ini dengan markah 50.5 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM 30,000.

Menampilkan Fauziah Ahmad Daud, A.R Badul dan Ajai selaku juri profesional, konsert akhir diadili melalui pembahagian markah 50 peratus juri profesional, 30 peratus undian SMS dan 20 peratus juri awam.