Kaji selidik Tingkah Laku Seksual Dan Kepuasan Asia-Pasifik di Singapura menunjukkan bahawa 77 peratus pasangan di Asia dan Australia mahukan masa lebih lama di atas ranjang, dengan lelaki memiliki keinginan lebih kuat (84 peratus) berbanding wanita (69 peratus).

Keputusan juga menunjukkan bahawa lelaki juga melakukan hubungan seks pada kekerapan lapan kali sebulan berbanding purata 7.4 kali untuk wanita. Kajian yang sama juga mendapati tingkah laku bersahaja bukan sesuatu yang lazim ketika mana-mana pasangan berada di atas ranjang.

Penyelidik berkata, pasangan biasanya tahu dua atau tiga jam lebih awal jika mereka akan mengadakan hubungan seks. “Nampaknya kepuasan di dalam bilik tidur mendorong pasangan mahukan sesuatu yang lebih,” katanya.

Hanya kira-kira 50 peratus responden mengaku benar-benar atau sangat puas dengan kehidupan seksual masing-masing. Bagi lelaki yang mengalami masalah ejakulasi awal, kepuasan seksual merudum kepada 39 peratus untuk lelaki dan wanita. Kaji selidik itu dijalankan pada 18 Mac sehingga 2 April lalu dengan responden berusia antara 18 hingga 45 tahun.

Lebih 6,000 responden dari lima bandar raya utama Australia, selain lapan negara di Asia yang juga termasuk Singapura terbabit dalam kaji selidik itu.